Saturday 11 April 2015

Dawrah Malaysia Jumada ats-Tsani 1436H

Bismillah,



إذا ما الأصل ألفي غير زاك فما تزكو مدى الدهر الفروع 
Apabila asasnya tidak kuat,
Maka cabangnya pun akan demikian sepanjang masa


Apabila teringatkan perkataan al-muttaqin, maka bersegeralah keraguan terus menyelimuti hati ini. Terasa bak jauh panggang dari api untuk menyarung gelar itu. Tambah menakutkan kerana kabut di hadapan entah bagaimana kelamnya pula saat helaan nafas terakhir meninggal alam ini.  Apakah dalam masih berkeadaan memeluk iman atau sebaliknya? Wallahul mustaán. Tiada siapa yang berani untuk mendabik dada mengatakan keistiqamahan dirinya dari dosa dan noda; dengan jaminan bahawa dia akan kembali ke kampung akhirat mengusung jaya. Inikan pula jika ada berani mentazkiyah orang lain sebagai má'shum dari cacat dan cela.

Lebih dari itu, di zaman mutakhir ini, dampak negatif semakin nyata melalui kelengahan kita dalam menguruskan dunia yang berakibatkan keterabaian dalam menyiapkan bekal akhirat. Itulah dia, adakalnya menyerlahkan keberanian yang telah dicurahkan bukan tempatnya. Kalam-kalam jijik memercik di merata tempat hatta ke dalam masjid, rumah íbadatnya kaum Muslimin. Apakah pelecehan sebegini wajar dipandang enteng? Dengan ungkapan, alah sunat je tu selain mengintai-ngintai fatwa aneh dalam rangka meninggalkan fatwa yang jauh lebih kuat. Dan yang lebih parah lagi apabila pasrah untuk bertasyabbuh kepada Yahudi seperti menutup sebahagian ayat dan mempamerkan sebahagian lain sahaja. Kemudian dengan memakai baju ashabiyah, sebahagian kita menjadi fanatik membela mazhab atau kelompoknya semata-mata. Kita tak perasan, mana mungkin nyalaan lilin kita kan bertambah terang dengan menghapuskan lilin orang lain. Ya, mana mungkin akar yang lemah dapat menumbuhkan pohon yang tinggi menjulang. Jesteru, inti dari semua ini adalah satu qarinah(tanda aras) bahawa diri ini miskin dalam mengílmui prinsip-prinsip Ahlussunnah wal Jamaáh. Mendepankan yang kurang penting dan membelakangan yang lebih utama.

Apa maksud sebenarnya semua ini? Inilah yang sebahagian gelagat para pendá'wah moden yang bermunculan di tengah-tengah manusia. Dari versi hijau putik atau bak telur baru menetas, berkobar-kobar api semangatnya lalu lantang dan lancang berbicara. Kemudian berpindah kepada versi atas tiket pendá'wah bebas atau pertandingan tukang karut 'Islami' di pentas media massa dan media sosial. Dilema antara fabrikasi qawaid fiqhiah mazhab Syafií atau Pak Pií tukang sate. Dan hinggalah kemuncak hari ini ke kancah politik, yang menjunjung syariát demokrasi. Baik pada yang terhoyong-hayang memberontak kepada pemerintah dengan meminta beban amanah yang bukan miliknya atau yang menjulurkan lidahnya kehausan materi dunia. Hadahumullah. Seakan tiada sejarah semalam untuk dipelajari. Seakan warisan hasil mujahadah úlama' mutaqaddimin untuk dirujuk sudah pupus. Jalan yang mana hendak kau pilih?[1]

Oleh demikian, satu kitab yang sungguh bermanfaát untuk dipelajari dengan tekun bagi mereka yang jujur-ikhlas untuk berkongsikan keindahan Islam bersama ummat manusia. Yang dengan itu kita dapat kembali kepada para Salaful Ummah dalam berperilaku, menelusuri dasar-dasar yang mengantarkan kepada kejayaan sebenar hidup ini. Asy-Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah, úlama' yang peka terhadap permasalahan ini telah mencurahkan hal tersebut ke dalam kitabnya[2] yang bertajuk At-Tauhid Awwalan yaa Duatal Islam[3].

Maka inilah kitab kajian di dawrah baru-baru ini, walhamdulillah, lancar di adakan pada hari Jum'at-Ahad, 13-15 Jumada ats-Tsani 1436H di Surau Bukit Kucing, Gelang Patah, Johor Bahru. Disampaikan pula oleh Al-Ustadz Ahmad Khodim hafizhahullah dari Malang, Jawa Timur,
Semoga bermanfaát.




Khamis | 09 Jumada ats-Tsani 1435H

Thursday 2 April 2015

Dawrah Malaysia Jumada al-Awwal 1436H

Bismillah,


Alhamdulillah,
Berbanyak syukur kepada ALLAH subhanahu wa taála dengan ni'mat karunia-NYA maka berlangsunglah sudah dawrah ílmiah baru-baru ini. Adapaun saya, qadarallahu wa maasya faál, agak berhalangan untuk menghadirinya.

Walaubagaimanapun, bukanlah bermakna kita terus tidak berpeluang mengambil fawaid daripadanya. Oleh demikian, hanya ALLAH jua yang layak mengganjari dengan kebaikan yang banyak di atas susah-payah taáwwunnya para Ikhwah dalam menyediakan bahan rakaman. Kita bersyukur kepada ALLAH. Bersyukur kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakannya. Dengan tema Sebab Kemenangan, Kekokohan Serta Jalan Kebangkitan Ummat Islam karya Asy-Syaikh Al-Walid Rabi' bin Hadi al-Madkhali hafizhahullah[1]. Jelas sekali teramatlah sesuai ia untuk kita, orang awwam yang mencari kebenaran. Yang sering timbul tanda-tanya di fikirannya, mengapa ummat Islam tidak bersatu lalu berpecah-belah, saling menghujat di antara satu sama lain dan bermacam-macam monolog yang timbul-tenggelamnya. Semoga kajian ini sedikit-sebanyak membantu mendatangkan pencerahannya[2]. Wallahu muwaffiq.

Kemudian dari itu disusuli pula kupasan kajian kitab. Dan yang pastinya, kitab kajian ini bukan sebarangan ya. Melihatkan tajuknya telah membikin berkobar-kobar semangat untuk berusaha menjadi orang baik-baik. Dan lebih mengujakan lagi ialah pada babnya yang bukan saja meredamkan ego dalam diri bahkan turut memperingatkan agar benar-benar jujur-ikhlas menjalani hidup sebagai seorang Muslim. Kitab tersebut ialah Riyadh ash-Shalihin lil Imam an-Nawawi, Bab At-Taubah, Syarh asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Útsaimin rahimahumallah[3]. Disampaikan oleh al-Ustadz Abdushshamad Bawazir hafizhahullah[4]. Yang tercari-cari pengkhususan pada bab taubat maka sesuailah kiranya untuk mendengarkan kajian ini.

Adapun dawrah mendatang yang tinggal kurang lebih 1 hari saja lagi. Semoga saya dan antum dikurniakan peluang untuk menghadirinya serta sebaik mungkin untuk memusatkan perhatian di dalamnya. Kita panjatkan doá agar dikukuhkan hati kita dalam berIslam serta perngorbanan kecil yang tak seberapa untuk dawrah ini berbaloi dengan hati yang khusyu', ílmu yang bermanfaát dan ámalan yang diterima. Ameen, ALLAHumma ameen.



Khamis | 12 Jumada ats-Tsani 1436H