Thursday 12 August 2021

Mencari Asy-Syafie (I)

••{ ﷽ }••


Muhammad bin Idris? Sebut saja Imam asy-Syafie, namanya tidaklah asing di kalangan masyarakat Muslim Nusantara. Dikenal kerana praktik fiqh alirannya. Sang mujaddid bahkan bapa ilmuan usul fiqh ini telah menghafal Al-Qu'ran seawal usia 7tahun, menghafal pula Al-Muwaththa' lil Imam Malik pada usia 10tahun dan dikenal membahagi waktu malamnya menjadi 3 bahagian yakni belajar, beribadat dan beristirehat. Akhirnya diwafatkan pada tahun 204Hijriah. Mungkin saja seandainya beliau bangkit di zaman kita maka nescaya akan kita lihat beliau sebagai orang gila sebagaimana beliau melihat kefasikan pada diri-diri kita. Ini dikeranakan bagai langit dan bumi betapa jauhnya perbezaan kita menjalani hidup sebagai Muslim dalam menuju hari akhirat.

Baiklah, bukan calang-calang orangnya beliau ini, rahimahullah. Saksikan saja bagaimana tazkiyah(rekomendasi/pujian) para ulama' terhadap beliau. Sepertimana dalam kitab Tahdzibut Tahdzib karya Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah disebutkan bahawa:

Al-Imam Abu Zur'ah Ar-Razi rahimahullah berkata:
Tidak ada satu hadits pun yang Asy-Syafie keliru dalam meriwayatkannya.

Al-Imam Abu Dawud rahimahullah berkata:
Asy-Syafie belum pernah keliru dalam meriwayatkan suatu hadits.

Al-Imam Ali bin Al-Madini rahimahullah berkata kepada puteranya:
Tulislah semua yang keluar dari Asy-Syafie dan jangan kau biarkan satu huruf pun terlewat, kerana padanya terdapat ilmu.

Al-Imam Yahya bin Ma'in rahimahullah berkata tentang Asy-Syafie:
Tsiqah (terpercaya).

Al-Imam Yahya bin Sa'id Al-Qaththan rahimahullah berkata:
Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih berakal dan lebih faham tentang urusan agama daripada Asy-Syafie.

Al-Imam An-Nasa'i rahimahullah berkata:
Asy-Syafie di sisi kami adalah seorang alim yang terpercaya lagi amanah.

Al-Imam Mush'ab bin Abdullah Az-Zubairi rahimahullah berkata:
Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih berilmu dari Asy-Syafie dalam hal sejarah.

Dalam Mukadimah Asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Syakir rahimahullah terhadap kitab Ar-Risalah karya Al-Imam Asy-Syafie(hal.6) disebutkan bahawa Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:
Kalau bukan kerana Asy-Syafie(atas kehendak ALLAH ﷻ, pen.), nescaya kami tidak mampu memahami hadits dengan baik. Beliau juga berkata:
Asy-Syafie adalah seorang yang paling faham tentang Kitabullah dan Sunnah Rasulullah ﷺ.

Dalam kitab Manaqib Asy-Syafie karya Al-Imam Dawud bin Ali Azh-Zhahiri rahimahullah disebutkan
Telah berkata kepadaku Ishaq bin Rahawaih: Suatu hari aku pergi ke Makkah bersama Ahmad bin Hanbal untuk berjumpa dengan Asy-Syafie. Aku pun selalu bertanya kepadanya tentang sesuatu (dari agama ini) dan aku dapati beliau sebagai seorang yang fasih serta berbudi pekerti luhur. Setelah kami berpisah dengan beliau, sampailah informasi dari sekelompok orang yang ahli di bidang tafsir Al-Qur’an bahawa Asy-Syafie adalah orang yang paling mengerti tafsir Al-Qur'an di masa ini. Kalaulah aku tahu hal ini, nescaya aku akan bermulazamah (belajar secara khusus) kepadanya.
Dawud bin Ali Azh-Zhahiri berkata:
Aku melihat adanya penyesalan pada diri Ishaq bin Rahawaih atas kesempatan yang terlewatkan itu.


Dalam kitab Manaqib Asy-Syafie karya Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (2/42-44 dan 48) pula disebutkan bahawa:
Al-Imam Abdul Malik bin Hisyam Al-Mu'afiri rahimahullah (pakar bahasa Arab di Mesir)) berkata:
Asy-Syafie termasuk rujukan dalam bahasa Arab.

Al-Imam Abdul Malik bin Quraib Al-Ashma'i rahimahullah (pakar bahasa Arab di Iraq) berkata:
Aku mengoreksikan syair-syair Suku Hudzail kepada seorang pemuda Quraisy di Makkah yang bernama Muhammad bin Idris Asy-Syafie.

Al-Imam Abu Ubaid Al-Qasim bin Sallam Al-Harawi rahimahullah (sasterawan ulung di masanya) berkata:
Adalah Asy-Syafie sebagai rujukan dalam bahasa Arab atau seorang pakar bahasa Arab.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:
Perkataan Asy-Syafie dalam hal bahasa Arab adalah hujjah.

Al-Mubarrid rahimahullah berkata:
Semoga ALLAH ﷻ merahmati Asy-Syafie. Beliau termasuk orang yang paling ahli dalam hal syair, sastera Arab, dan dialek bacaan (qiraat) Al-Qur'an.

Imam Ahmad rahimahullah berkata:
ALLAH subhanahu wa ta'ala menetapkan bagi manusia, pada setiap seratus tahunnya ada seorang yang mengajari mereka As-Sunnah dan menafikan kedustaan atas nama Rasul. Kami pun menelaah. Ternyata di penghujung seratus tahun adalah Umar bin Abdul Aziz rahimahullah. Di penghujung tahun dua ratus adalah asy-Syafie.

Imam Ahmad rahimahullah juga berkata:
Sejak tiga puluh tahun lalu, tidaklah aku tidur malam kecuali aku mendoakan kebaikan bagi asy-Syafie dan memohonkan ampunan untuknya.
[Lihat Mukhalafat ash-Sufiyah, hlm. 10-11]

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (salah seorang murid senior Al-Imam Asy-Syafi’i) di awal kitab Mukhtasor-nya berkata:
Aku ringkaskan kitab ini dari ilmu Muhammad bin Idris Asy-Syafie rahimahullah serta dari kandungan ucapannya untuk memudahkan siapa saja yang menghendakinya, seiring dengan adanya peringatan dari beliau agar tidak bertaklid kepada beliau maupun kepada yang lainnya. Hal itu agar seseorang dapat melihat dengan jernih apa yang terbaik bagi agamanya dan lebih berhati-hati bagi dirinya.
[Dinukil dari Manhaj Al-Imam Asy-Syafie fi Itsbatil Aqidah, 1/127]

Al-Hafizh Ibnu Katsir rahimahullah berkata,
Telah diriwayatkan dari Ar-Rabi' dan yang lainnya, dari para pembesar murid-murid Asy-Syafie, apa yang menunjukkan bahawa ayat dan hadits tentang sifat-sifat ALLAH ﷻ tersebut dimaknai sesuai dengan makna zahirnya. Tanpa dibayangkan bagaimana hakikat sifat tersebut (takyif). Tanpa diserupakan dengan sifat makhluk-NYA (tasybih). Tanpa ditiadakan (ta'thil), dan tanpa dipalingkan dari makna sebenarnya yang dimaukan ALLAH ﷻ dan Rasul-NYA ﷺ (tahrif).
[Al-Bidayah wan Nihayah, 10/265]




KALAM IMAM ASY-SYAFIE
Jika kalian mendapati sesuatu pada karya tulisku yang menyelisihi Sunnah Rasulullah ﷺ, maka ambillah Sunnah Rasulullah ﷺ tersebut dan tinggalkan perkataanku.

Jika apa yang aku katakan menyelisihi hadits yang sahih dari Nabi ﷺ, maka hadits Nabi ﷺ-lah yang lebih utama, dan jangan kalian taklid kepadaku.
[Lihat Manaqib Asy-Syafie, 1/472 dan 473]

Al-Imam Asy-Syafie mengatakan:
Demi ALLAH, jika Muhammad bin Idris tidak meyakini akan dilihatnya ALLAH ﷻ di hari kiamat, nescaya dia tidak akan beribadah kepada-NYA di dunia.
[Manaqib Asy-Syafie, 1/419]

Pujian Al-Imam Asy-Syafie  terhadap para Sahabat radhiyallahu'anhum:
Mereka di atas kita dalam hal ilmu, ijtihad, wara', ketajaman berpikir dan menyimpulkan suatu permasalahan berdasarkan ilmu. Pendapat mereka lebih baik dan lebih utama bagi diri kita daripada pendapat kita sendiri. Wallahu a’lam.
[Manaqib Asy-Syafie, 1/442]

Ibnul Qayyim rahimahullah meriwayatkan perkataan Imam asy-Syafie rahimahullah dengan sanadnya,
Ucapan tentang sunnah yang aku di atasnya, yang aku lihat para ahlul hadits sahabatku juga di atasnya, dan yang telah aku ambil ilmu dari mereka, seperti Sufyan, Malik, dan selain keduanya, ialah berikrar bahawa tidak ada yang berhak diibadahi selain ALLAH subhanahu wa ta’ala dan Muhammad ﷺ adalah utusan-Nya. Demikian pula bahawa ALLAH ada di atas Arsy-NYA, dekat dengan makhluk-NYA sebagaimana dikehendaki-NYA, dan ALLAH turun ke langit dunia sesuai dengan kehendak-NYA.
[Ijtima’ul Juyusy al-Islamiyah]

Celaan Al-Imam Asy-Syafie terhadap kaum Syiah Rafidhah yang penuturan Yunus bin Abdul A'la:
Aku mendengar celaan yang dahsyat dari Asy-Syafie –jika menyebut Syiah Rafidhah– seraya mengatakan:
Mereka adalah sejelek-jelek kelompok.
[Manaqib Asy-Syafie, 1/468]

Al-Imam Al-Buwaithi rahimahullah berkata:
Aku bertanya kepada Asy-Syafie, Apakah aku boleh solat di belakang seorang yang beraqidah Syiah Rafidhah?
Beliau menjawab,
Jangan solat di belakang seorang yang beraqidah Syiah Rafidhah, seorang yang beraqidah Qadariyyah, dan seorang yang beraqidah Murjiah.
[Lihat Manhaj Al-Imam Asy-Syafie fi Itsbatil Akidah, 1/480]

Celaan Al-Imam Asy-Syafie terhadap kaum Sufi
Tidaklah seorang sufi bisa menjadi sufi tulen hingga mempunyai empat karakter: pemalas, suka makan, suka tidur, dan selalu ingin tahu urusan orang lain.
[Manaqib Asy-Syafie, 2/207]

Demikian juga Ibnu Katsir rahimahullah (beliau termasuk ulama bermadzhab Syafie) ketika menafsirkan ayat ALLAH ﷻ:

Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.
(An-Najm: 39)

Beliau berkata: 
Dari ayat ini, Al-Imam Asy-Syafie rahimahullah dan orang yang mengikutinya mengambil istinbath (kesimpulan hukum dari sutau dalil) bahawa hadiah pahala bacaan Al-Qur'an tidaklah sampai kepada orang mati, kerana hal itu bukan amal perbuatan mereka. Sehingga Rasulullah ﷺ pun tidak pernah menganjurkannya.
(Tafsir Ibnu Katsir)
[Lihat Mukhalafah hal. 169]


PENUTUP
Demikian serba ringkas tentang salah seorang alim besar sang pejuang as-Sunnah yang tumbuh tiada berganti, wafat bersama ilmunya pada pada malam Jum’at 29 Rajab 204H. Semoga ALLAH ﷻ  mengganjari beliau dengan balasan kebaikan yang melimpah-ruah, mengampuninya, merahmatinya serta menempatkan beliau ke dalam syurga-NYA.


Jum'at | 04 Muharram 1443H



Nota kaki,