Friday 20 March 2020

025.Kisah 10 Sahabat Pemetik Janji Syurga

••{ Bismillahirrahmanirrahim }••
SIRAH SAHABAT
KISAH 10 SAHABAT PEMETIK JANJI SYURGA
✒ Al-Ustadz Abu Utsman Kharisman Hafizhahullah
UMAR BIN AL-KHATHTHAB RADHIYALLAHU'ANHU
bahagian  1⃣1⃣


Zuhudnya Umar


Tak terhitung banyaknya lembaran sejarah mencatat kezuhudan Umar. Salah satunya adalah saat diserahkan kepada beliau harta rampasan perang yang diambil dari istana Kisra (Pemimpin Parsi) di Madain oleh Sa'ad bin Abi Waqqash radhiyallahu'anhu.

Pasukan kaum muslimin menyerang maju memasuki Madain. Tampak lengang kerana banyak yang telah melarikan diri. Kaum Parsi itu telah meninggalkan sekian banyak harta-benda mereka yang belum sempat diselamatkan. Harta-harta benda yang sangat banyak dan besar nilainya. Sa'ad bin Abi Waqqash memasuki Istana Putih Madain. Beliau menyuruh Salman al-Farisi untuk berdakwah kepada pasukan yang bersembunyi di istana itu selama 3 hari. Pada hari ketiga mereka keluar dari istana. Sa'ad pun menguasai istana tersebut dan menjadikannya tempat solat. Beliau membaca firman ALLAH ﷻ:

كَمْ تَرَكُوا مِنْ جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (25) وَزُرُوعٍ وَمَقَامٍ كَرِيمٍ (26) وَنَعْمَةٍ كَانُوا فِيهَا فَاكِهِينَ (27) كَذَلِكَ وَأَوْرَثْنَاهَا قَوْمًا آَخَرِينَ. (28) 
"Betapa banyak taman dan mata air yang mereka tinggalkan. Kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah. Kesenangan-kesenangan yang mereka nikmati. Demikianlah, KAMI wariskan semua itu kepada kaum yang lain."
[Q.S Ad-Dukhan ayat 25-28]

Sa'ad bin Abi Waqqash kemudian mengumpulkan harta rampasan perang yang berlimpah. Beliau melihat ada beberapa patung di istana itu. Salah satu patung ada yang menunjuk ke arah tertentu. Ternyata itu mengisyaratkan pada tempat penyimpanan simpanan harta Kisra yang sangat banyak. Pasukan kaum muslimin mengambil simpanan harta-harta tersebut yang sangat menakjubkan, belum pernah mereka lihat seperti itu sebelumnya.

Di antara harta rampasan perang itu, terdapat mahkota Kisra (raja Kisra) yang sangat megah. Berhiaskan batu-batu mulia yang sangat indah. Mahkota itu sangat besar dan berat, digantung dengan rantai emas dari atas singgasana raja. Jika raja duduk di singgasananya, mahkota itu diturunkan hingga dikenakan pada kepala raja.

Terdapat pula permadani indah berbentuk persegi panjang yang panjang dan lebarnya 60 hasta. Belum lagi pekakas dari emas dan perak yang juga berlimpah.

Sa'ad bin Abi Waqqash meminta agar sebahagian harta itu dibawa ke Madinah untuk ditunjukkan pada Umar bin al-Khaththab. Sesampainya di hadapan Umar, Umar merasa terharu dengan sikap amanah para prajuritnya. Beliau menyatakan:

"TIDAKLAH AKAN SAMPAI KE SINI BARANG-BARANG berharga INI KECUALI DIBAWA OLEH ORANG-ORANG YANG AMANAH."
Ali bin Abi Thalib menimpali:

إِنَّكَ عَفَفْتَ فَعَفَّتْ رَعِيَّتُكَ ، وَلَوْ رَتَعْتَ لَرَتَعَتْ
"Mereka melakukan hal ini kerana anda bersikap _iffah_ (menjaga diri). Jika anda bersikap tamak (terhadap dunia), nescaya mereka juga akan bersikap tamak (terhadap dunia)."
[al-Bidaayah wan Nihaayah karya Ibnu Katsir (7/78)]

Umar bin al-Khaththab radhiyallahu'anhu juga merasa bahawa dibukakannya harta yang berlimpah ini adalah ujian bagi kaum beriman. Bukan bererti bahawa mereka yang berhasil menaklukkan wilayah-wilayah kafir tersebut lebih utama dibandingkan Nabi dan para Sahabat sebelumnya. Umar bin al-Khaththab menyatakan:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ مَنَعْتَ هَذَا رَسُولَكَ وَنَبِيَّكَ، وَكَانَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنِّي، وَأَكْرَمَ عَلَيْكَ مِنِّي، وَمَنَعْتَهُ أَبَا بَكْرٍ، وَكَانَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنِّي وَأَكْرَمَ عَلَيْكَ مِنِّي، وَأَعْطَيْتَنِيهِ، فَأَعُوذُ بِكَ أَنْ تَكُونَ أَعْطَيْتَنِيهِ لِتَمْكُرَ بِي
"Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU mencegah (limpahan harta rampasan perang ini) pada Rasul dan Nabi-MU. Padahal beliau lebih ENGKAU cintai dibandingkan aku. Dan ENGKAU mencegah ini kepada Abu Bakr, padahal ia lebih ENGKAU cintai dan lebih mulia dibandingkan aku. Namun ENGKAU memberikan hal ini kepadaku. Aku berlindung kepada-MU agar jangan sampai pemberian-MU ini sebagai makar terhadapku."
[al-Bidayah wan Nihaayah karya Ibnu Katsir (7/79)]

Kemudian Umar menangis hingga membuat orang di sekeliling beliau merasa kasihan terhadap beliau. Umar selanjutnya berkata kepada Abdurrahman bin Auf:
"Aku bersumpah kepadamu, hendaknya engkau jual barang-barang ini, kemudian engkau bahagi-bahagikan (kepada pihak yang berhak) sebelum datangnya petang hari."

Subhaanallah, demikian zuhudnya khalifah kedua ini. Beliau sebenarnya sangat mampu untuk hidup bergelimang harta, namun itu tidak beliau lakukan. Harta-harta rampasan perang itu dibahagikan secara adil.


...insyaa-ALLAH akan bersambung
(Siri bahasa Malaysia. Juga terdapat di dalam bahasa Indonesia terbitan AtTuqa.)
🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃🍃
Ikhwah Salafy Malaysia
#SirahUmar11