Tuesday 19 December 2017

Dawrah Malaysia Muharram 1439H

Bismillah,



Alhamdulillah. Dawrah kali ini sepertimana yang sudah-sudah, berjalan dengan lancar sekali. Hanyasanya ALLAH ﷻ jua yang layak mengganjari dengan sebanyak-banyaknya kebaikan di atas mujahadahnya barisan panitia dalam menjayakan dawrah ini.


Berikut adalah maklumat asas bagi dawrah tersebut:
Lokasi : Masjid Khan Muhammad, Geogertown, Pulau Pinang
Waktu : Sabtu & Ahad, 23-24 Al-Muharram 1439H ~ 14-15 Oktober 2017M
Pemateri : Al-Ustadz Abu Utsman Kharisman hafizhahullah
Tajuk : Di Mana Tempat Akhir Kita

 



Mungkin saja orang banyak dapat menduga isi kandungan dawrah tersebut. Tentu sekali tentang targhib wa tarhib (dorongan dan ancaman) dalam menjalani kehidupan di dunia yang seketika ini menuju akhirat yang kekal-abadi. Ya, kenikmatan jannah dan kesengsaraan jahannam yang sudah kerap kita dengar sejak dahulu lagi. Namun bukanlah soal berapa banyak dalilnya, baik yang benar atau sekadar bualan mulut ke mulut turun-temurun yang hendak ditekankan di sini. Hanyasanya persoalannya yang lebih lanjut adalah sejauh mana kesungguhan, kehendak diri untuk memenuhi kriteria agar tercalon sebagai penghuni jannah kelak? Baarakallahu feekum. Adapun hal ini bukanlah mencari titik cacat untuk menuding jari ke depan bahkan terhadap diri sendiri adanya. Dalam memerhati manusia datang dan pergi. Dan dalam menilik diri sesudah itu. 


ILMU FAKTA ATAU INFORMASI AUTA
Demikianlah yakni soalnya hati. Hati ini yang sejauh mana sudah berkira-kira jujur bagi memperbaiki kualiti ilmu sebelum memperbanyakkan kuantiti amal. Ya, kita faham nilai mahalnya biaya pendidikan hari ini. Demikian tercatat di dada sejarah akan mujahadah ulama' terdahulu dalam menuntut ilmu syar'i. Dengan dunia di hujung jari, kita sudah mampu membaca kisah-kisah mereka tanpa perlu merentas daratan dan gelombang lautan waima membelah awan sekalipun. Maka bacalah. Ya jika biaya pendidikan  itu mahal, inikan pula sebuah ketidakpedulian yakni meninggalkan keutamaan ilmu. Bahkan lebih mahal. Tanpa ilmu, terlihatlah sikap kebencian terhadap sesuatu yang di luar pemahaman diri  sendiri. Tanpa ilmu maka terbinalah cinta dan benci di atas dasar fanatisme. Mendengar pada apa yang hendak didengari saja. Ya, melihat juga begitu. Walhasil ketidakpedulian ini digambarkan melalui sikap sombong yakni menolak kebenaran yang datang dan meremehkan manusia yang membawanya. Wallahul mustaan. Adapun pada hari ini, ketidakpedulian tersebut dapat dirasai melalui etika pemberitaan semberono lalu disokong padu oleh narsisis-narsisis semisalnya. Bukankah dari grup sebelah adalah jawapan yang kerap diterima semenjak diajukan pertanyaan sumber pemberitaan-'copy&paste'-nya[1]?


Jadi, seandainya pada setiap 1000 insan itu hanya seorang saja yang layak memasuki jannah, di manakah kita berdiri? Yang seorang atau salah seorang dari 999 itu? Masing-masing boleh menjawab sendiri. Semoga ALLAH ﷻ merahmati orang tahu kadar dirinya. Tahu apa yang ditampakkan pada zhahir dan apa pula yang disembunyikan.. 


KAU KAN TUAI APA YANG KAU TANAM
Melihatkan ahli dunia yang mempamer-pamerkan kereta idaman yang dimiliki melalui hutang ribawi. Lalu dipertontonkan kehidupan peribadi siap bersama kemewahan harta serta fesyen-fesyen tabarruj[2] dan tasyabbuh[3] terkini. Tak hairanlah apabila jatidiri sebagai Muslim yang kagum[4] dengan gaya hidup Yahudi dan Nasrani itu meluntur. Pun begitu, tetap mereka masih meyaqini hal tersebut tak setara dengan nikmatnya jannah yang lebih luas daripada dunia dan seisinya. Malangnya, keyaqinan ini disia-siakan kerana sudah asyik-masyuk dengan buaian janji-janji manis dunia!  Kerakusan, tamak-haloba dan hasad[5] dibangkitkan melalui jalan ditakut-takutkan akan kemiskinan, kurangnya penghasilan, kehilangan manusia sekitar, kebuluran dan pelbagai ujian yang pasti ada kemudahan sesudah itu. Wallahul muwaffiq. Ya, masakan orang yaqin dengan janji-janji ALLAH ﷻ akan tertuang  siang dan malamnya ke atas kerja-kerja dunia, fikir dunia dan muzakarah dunia hatta agama pun diduniakan dalil-dalilnya. Dengan sederet angan-angan, kononnya, melalui kemewahan dunia inilah mereka dapat memperbanyak kuantiti amal.  Dapat bersedekah, berwakaf dan semisal. Seolah-olah agama ini teruntuk buat orang kaya yang dapat dibeli sebanyaknya pahala dengan duit ringgit. Wal'iyadzubillah. Demikian ahli dunia datang dan pergi. Sayang sekali hidup hanya menjadi teladan keji. Di usia senja tampak solat masih lagi sumbang. Di usia senja ini juga baru hendak belajar mengaji (qiraat) sedang pegangan aqidah masih lesu kerana berpaut pada arus bualan semasa. Kasihan, perbualan seharian pun masih mengedepankan pengalaman dan bermegah-megahan dengan tuntunan bangsa penjajah. Apa yang sebenarnya mereka kejarkan dalam hidup ini? Yahdina wa yahdikumullah.



MUSANG BERJANGGUT
Bagaimanapun ada yang lebih ngeri daripada mereka (ahli dunia). Siapa? Kitalah, siapa lagi. Yang berjanggut, berjubah dan berperwatakan agamis ini. Dengan kurang dari setitik ilmu di lautan, kita angkuh merendah-rendahkan manusia jahil seperti ahli dunia tadi. Seolah-olah mereka adalah manusia yang tiada layak dikurniakan hidayah dan taufiq dari ALLAH ﷻ. Di lain masa, kita tampil berpencak di media sosial layaknya seorang syaikh bersenjatakan kacau-bilau maklumat. Kita debati ulama' Rabbani, meremeh-meremehkan orang bodoh dan tampil sebelum masanya. Kononnya kitalah yang terbaik qiraatul Qur'annya, yang paling tekun bersedekah-jariah dan yang terkedepan mempertahankan Islam[6]. Kita terleka, yang terlarang kita lakukan sembunyi-sembunyi kelak terbongkar jua nanti. Yang diperindahkan buat tontonan manusia pula kelak lenyap bak debu berterbangan. Sedang di pandangan ahli dunia menyangka inilah dia ahli ilmu, orang-orang akhirat yang mendahului mereka dalam menyukakan ALLAH. Walhal, kita ini baru berapa tahun sangatlah taubatnya? Baru kelmarin janggut ini dibiarkan tumbuh. Baru kelmarin juga kerap muncul di barisan saf solat. Dimisalkan  di usia kurang lebih 38 tahun  ini, entah sudah berapa banyak dosa terkumpul semenjak akil-baligh sampai sekarang? Dosa demi dosa yang telah ALLAH ﷻ tutup aibnya dari pengetahuan manusia. Pun acuh tak acuh untuk bertaubat dengan keyaqinan bahawa ALLAH itu Maha Pengampun. Sementara meyaqini adanya maghfirah (ampunan), dosa diulang lagi dan lagi. Dosa yang jelas dosanya atau syubhat mengatasnamakan ALLAH Maha Mengetahui niat[7] baik kita agar manifestasi selain cara yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ terungkapkan [8].


Walau bagaimanapun, tiada kita dibiarkan begitu saja tanpa diuji. Datang fitnah (ujian) silih berganti buat menyaring kejujuran kita. Samada hijrah kita tulus-ikhlas kerana ALLAH ﷻ yang dengan itu mudah-mudahan istiqamah. Atau hijrah kerana hendak membeli perhatian yang ternyata kelak akan berwarna-warni penampilannya. Apa yang kita semai semalam pasti akan kita tuai kelak. Wallahul muwaffiq. Jesteru, setiap jiwa akan dipermudahkan ke mana arah ia diciptakan samada kembali ke kampung halaman (jannah) atau ke sejelek-jelek tempat kembali (jahannam). Kepada ALLAH jua kita memohon moga terhitung sebagai insan bahagia. Bermodalkan keterhadan masa yang ada sekarang inilah kita upayakan untuk mempraktiskan amal-amal yang sewajarnya dilaksanakan oleh ahli jannah ketika mereka hidup di dunia. Dari perihal bangkit tidur sehingga kembali dengan tuntunan Nabiyyuna, Muhammad ﷺ .


Oleh itu, maka dengarkanlah rakaman dawrah [9] tersebut agar terukir peringatan yang jelas ke lubuk sanubari kita untuk hidup menjunjung akhirat tanpa mengabaikan tanggungjawab di dunia.

Wallahul muwaffiq.






Sabtu | 20 Rabi' al-Ula 1439H