Saturday 3 October 2015

Dawrah Malaysia Dzulhijjah 1436H

Bismillah,

Alhamdulillah, wash-shalatu wassalamu ála rasulillah wa ála aalihi wa ashhabihi wa man waalah.
Amma ba'd,

Berbanyak-banyak syukur kepada ALLAH yang telah memilih kita untuk mengakhiri bulan Dzulqa'da bersama dengan mengawali bulan Dzulhijjah di dalam majlis ílmu Ahlussunnah wal Jamaáh. Majlis yang berlokasi mulai dari Batam kemudian menyusul ke Pasir Ris, Singapura sehinggalah berakhirnya di Kuala Lumpur. Baarakallahu feekum.

Walhamdulillah ála kulli ní'mah. Masih lagi diberi kesempatan untuk menghadirkan diri ke 'Muhadharah 3 Negara'[1] ini. Bersyukur juga kepada para pemateri dan pihak petugas yang tekun bermujahadah dalam melangsungkan majlis tersebut. Jika perhatikan pada poster-poster muhadharah seterusnya di lain tempat maka akan didapati, masyaa-ALLAH, demikian giatnya mereka para duát berkhidmat kepada ummat. Adapun di antara duát di majlis ini ialah Al-Ustadz Abu Abdillah Luqman Ba'Ábduh, Al-Ustadz Ábdushshamad Bawazir, Al-Ustadz Ahmad Khodim dan Al-Ustadz Abu Ámr Ahmad Alfian hafizhumullah. Hanya ALLAH jua yang layak membalasi mereka-mereka yang terlibat dengan ganjaran yang banyak.

Dan pelajaran dawrah kali ini?
Pelajaran dawrah kali ini ringkasnya berkisar kepada fadhilat ílmu[2] yang (diperolehi daripada mereka yang benar-benar ahli pastinya) dan seputar peri-pentingnya bimbingan oleh úlama' kibar hafizhahullah[3] dalam menjalani pengámalan ílmu tersebut serta sikap dalam menghadapi fitnah-fitnah akhir zaman. Jesteru aturan yang sedemikian seharusnya mengantarkan kita kepada ádab dan akhlaq sebagai buah hasil ílmunya. Sesungguhnya, ní'mat ílmu adalah ní'mat yang besar. Walhamdulillah, dalam kemelut fitnah zaman ini, kita masih direzeqikan untuk berIslam dengan ílmu. Karunia khusus kepada hamba yang DIA kasihi, dapat berámal dengan realiti fakta ílmu bukan spekulasi atau fantasi. Kerana ílmu adalah cahaya petunjuk yang mengeluarkan manusia dari gelap kesesatan kepada kehidupan yang sebenar. Dengan ílmu jualah al-haq dan al-bathil dapat dijelaskan. ALLAH, DIA-lah sumber al-Haq yang memiliki ílmu yang Maha Luas. Dikaruniakan ílmu itu kepada sesiapa yang DIA kehendaki.

Namun begitu, dalam mení'mati lazatnya ílmu tersebut, úlama' dan para murid mereka sering memperingatkan kita agar sentiasa mengawasi keikhlasan niat dalam berittiba' sunnah. Terlebih lagi di saat pelbagai anyaman fitnah datang menerpa buat mengancam keberadaan kita semua, para ghuraba'(orang asing) yakni minoriti AhlusSunnah di zaman ini . Sayugia di saat itu  jugalah kita seharusnya berpaut dengan bimbingan úlama' kibar. Diibaratkan mereka seperti para doktor pakar yang  árif tentang selok-belok sesebuah perubatan dan pembedahan ke atas pesakitnya. Dengan mengembalikan hak[4] mereka dalam urusan ini nescaya aroma-aroma syahwat dan syubhat yang perlu dibantahi dari cuba menulari hati manusia[5] akan lebih mudah dikenalpasti. Sudah semestinya mencegah lebih baik dari mengubati bukan? Oleh itu, janganlah pula kita bermudah-mudah untuk berhusnu zhan[6] kepada diri sendiri dengan berIslam sendirian pada sangkaan fitnah yang datang tidakkan menyentuh kita sama sekali. Sesungguhnya bahtera dá'wah Salafiyyah ini tetap akan berlayar kerana yang mengemudinya bukanlah kita tetapi ALLAH Ázza wa Jalla. DIA memilih sesiapa saja yang DIA kehendakkan taufiq baginya dan sesiapa saja yang hendak disesatkan. Tidak ada yang mampu memberikannya petunjuk setelah ia disesatkan sebagaimana tidak ada yang mampu menyesatkan setelah petunjuk itu diberikan.

Jesteru itu, terkhusus di dawrah ini rantaian ílmu yang bermanfaát dengan bimbingan úlama' kibar sepertimana yang telah disinggung awal tadi akan membuahkan ádab dan akhlaqul karimah[7]. Baarakallahu feekum, demikian yang dihimbau di sini adalah sikap at-taanni(menjelaskan permasalahan dan tidak tergesa-gesa bertindak) yang seiring dengannya sikap al-hilm(santun mengendalikan amarah), ar-rifq(perlahan-lahan dan bertahap dalam sesebuah urusan iaitu kelembutan), al-lin(lembut), at-tasabbut(menyelidiki), an-nazhar ila mashalih(melihat kepada kemaslahatan) dan semisalnya. Yang inti dari hal tersebut adalah supaya kita tidak gegabah merespon yakni tidak mudah melatah dengan mengeluar sebarang hukuman, jawaban, tindakbalas, nukilan berita, mendoákan kejelekan dan segala yang tercela di sisi syariát. Di samping itu turut digesakan ialah agar bersungguh-sungguh mengajar diri untuk tenang merenung, bermusyuwarah dan beristikharah sejenak sebelum berkeputusan. Juga mengajar untuk berpengetahuan sebelum berkata, memahami pertanyaan sebelum menjawab serta mengenal keadaan sebelum memuji dan mencela[8].

Lawan dari sikap tersebut pula ialah al-istí'jal, at-tasaaruk, al-únf(keras dan terburu-buru) yang intinya adalah sikap tergesa-gesa dalam mengupayakan sesuatu untuk didapatkan sebelum waktunya[9]. Seperti contoh orang yang gopoh-gapah memuji atau mencela seseuatu sering akan beriringan dengan penyesalan yang jauh dari keselamatan. Yang hujung-hujungnya ialah mewarisi penyesalan. Jesteru terkait dengan soal ílmu dan úlama', sikap al-istí'jal ini membikin manusia lupa kadar dirinya lantas menjadikan áqalnya sebagai mizan untuk menilai al-haq dengan al-bathil. Bahkan tidak kurang menyusul setelah itu sikap kibr(sombong). Adapun sikap al-musara-ah berbeza sekali dengan al-istí'jal kerana  al-musara-ah bererti sungguh berlumba-lumba atau bergegas dan sesuatu yang posfitif. Pun sejarah telah hidangkan kisah-kisah orang yang berjaya di samping orang-orang yang gagal pada dua sikap tersebut. Hal-hal yang berkaitan ini dapat diambil pelajarannya darinya seperti kisah Juraij al-Ábid dengan bayi bercakap, Umm Mu'minin Á'isyah radhiyallahuánha menjawab ucapan salam berhelah Yahudi terhadap suaminya shallallahuálaihi wa sallam, Al-Haruriyyin(Khawarij) yang terburu-buru berkeputusan memerangi Para Shahabat hatta fitnah-fitnah di zaman ini seputar yang mengakibatkan penjarahan kaum Kuffar terhadap bumi kaum Muslimin seperti apa yang berlaku di Somalia, Afghanistan, Iraq dan Mesir. Dan terkini di Syam(Syria) dengan fitnah terrorisme ISIS dan seangkatannya serta di Yaman dengan pemberontakan Syiáh Rafidhah Hutsiyyah[10]. Nas alullaha salamatan waal ááfiyah.

Moga ALLAH Tabaraka wa Taála mengurniakan kita ílmu yang bermanfaát, rezeqi yang baik dan ámalan yang maqbulat. Dan daripada itu turut memanifestasikan sikap at-taani tersebut sebagai hiasan akhlaqul karimah serta terjauhnya kita sikap al-istí'jal. Terjauh kita dari terpesona dengan fitnah mubtadi' membantah mubtadi'[11]. Kerana mereka adalah orang yang sakit, berpenyakit. Yang manis mereka rasakan pahit dan sebaliknya. Sama seperti orang sesat, yang benar terasa salah. Bersesuaianlah al-istí'jal sebagai pakaian mereka dalam berbuat. Adapun setelah mengetahui hal ini, kita memohon perlindungan kepada ALLAH Taála daripadanya. Dipohon juga keistiqamahan dalam menuruti perintah-NYA dan menjauhi larangan-NYA. Serta memohon keistiqamahan dalam keteguhan berpegang dengan Al-Qur'an dan as-Sunnah mengikut pemahaman Salaful Ummah[12]. Mudah-mudahan termasuk ke dalam golongan yang diridhai bukan yang dimurkai dan disesatkan walaupun hal demikian menjengkelkan Yahudi dan Nashara[13]. ALLAHumma ameen.




Selasa| 15 Dzulhijjah 1436H