Monday 1 May 2017

Dawrah Malaysia Rajab 1438H

Bismillah,




Begitu pantasnya masa berlalu. Seperti baru kelmarin semua ini berlaku. 

Terkenang saat duduk bermajlis bersama ikhwanuna Salafiyyin yang hadir dari pelbagai penjuru negeri. Terpapar keterujaan masing-masing dalam menantikan sesi pertama yang bakal berlangsung pada esok harinya iaitu 25 Rajab (22 April, Sabtu) di Masjid Muhammad Khan, Pulau Pinang. Seakan terlupa akan kelelahan bersafar dari Pahang menuju ke Georgetown, Pulau Pinang. Perjalanan yang kurang lebih 8 jam merentas 3 negeri iaitu Selangor, Perak dan Kedah. Walhamdulillah, hanya DIA jua yang layak mengganjari pihak panitia dengan kebaikan tak terhitung yang bertungkus-lumus menyediakan tempat menginap serta lain-lain sarana sepanjang dawrah berlangsung.




Tiba saat dawrah, wallahul mustaan, berat mata memandang, berat lagi besi-besi di gim bahkan berat lagi mata yang mengantuk dibuai terik cuaca 35°c! Kami bersesak-sesak di ruang utama masjid. Bagaimanapun tetap tak terbandingkan dengan keperitan cabaran salafushshaleh (para pendahulu yang baik) rahimahumullah dalam meraih ilmu ini. Adapun, walhamdulillah, nikmat kesihatan kurniaan-NYA dimanfaatkan dengan penuh bersemangat oleh Ustadzuna Qomar Su'aidi hafizhahullah. Bukan sekadar pembahasan 1 kitab seperti yang diiklankan di poster dawrah yakni Al-Ikhalas wan Niyah(musnad) karya Al-Hafiz Ibnu Abi Ad-Dunya (wafat sekitar 281 Hijriah). Malah disusuli pula kitab Kalimatil Ikhlas karya Al-Imam Ibn Rajab Al-Hanbali (wafat sekitar 795 Hijriah), rahimahamallah. Demikianlah masa yang singkat ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Jesteru ringkasnya, kitab-kitab tersebut sarat dengan fakta. Tak perlu kalam puitis nan mendayu-dayu atau garapan novel perahan akal untuk merekayasa khayalan citra dan lara. Semuanya mengedepankan dalil, kalamullah wa kalamurrasul. Juga paparan kisah benar para salafushshaleh buat menjadi dorongan. Wallahul muwaffiq.



Alangkah bagusnya jika rakaman dawrah ini turut dapat dimanfaatkan oleh insan-insan yang tak dapat hadir, namun turut sedang bermujahadah dalam memperbaiki jiwanya. Akan dipelajari apakah definisi sebenarnya al-ikhlas yang menjadi syarat pertama diterima amal zhahir dan bathin kita selama ini. Dan bagaimana pula dengan skrip tipikal orang yang mudah menuturkan, 'aku ikhlas berbuat itu dan ini'? Ala kulli hal, intinya adalah soal segumpal daging yang bernama qalb (*hati) yang telah disinggung dari hadits Nabi ﷺ mengenainya. Hati yang dipandang ALLAH ﷻ lebih utama daripada rupa-paras dan harta kita. Kerana dengan lurusnya hati yang bersemayam laksana raja ini maka luruslah para tenteranya pula yakni lisan dan perbuatan. Ya, semoga ALLAH ﷻ melindungi  kita daripada memiliki 2 wajah(karakter) dan 2 lisan walhasil hati yang fajir punya penyakit nifaq, ameen. Percayalah, dengan mendengar rakaman ini sedikit-sebanyak kelak akan memberi pedoman kepada kita. Agar lebih bersemangat nanti untuk mengupayakan kualiti terbaik pada setiap amal infirad (sendirian) dan ijtima'i (berkumpulan) kita sesuai pada kadar, tempat serta masanya. Lalu menyingkirlah sedikit demi sedikit pula akan setiap penyakit hati yang mencemar. Tiadalah lagi kepayahan hidup untuk bermuka-muka kerana ingin menyukakan manusia demi puja dan puji (pengiktirafan) mereka. Bukan juga demi penyakit narsisis yakni mabuk dengan kemahsyuran, mau didengari, menunjuk-nunjuk dan rasa takjub pada diri sendiri. Malah bukan demi membeli kesempitan dunia dengan keluasan akhirat. Yang menjadi kesimpulan nanti ialah upaya menempatkan diri ke dalam ruang lingkup definisi ikhlas itu tadi. Wallahu a'lam.


Semoga bermanfaat.



Isnin | 03 Sya'ban 1438H

*Yang benar adalah jantung kerana hati disebut kabid. Adapun penggunaan kalimat hati adalah menurut budaya masyarakat setempat bukan pengisyaratan bahasa sebenar.