Sunday 17 April 2016

Dawrah Malaysia Rajab 1437H

Bismillah,

Walhamdulillah, jadi inilah kali kedua dalam tahun ini saya bersafar dari Kuantan ke Johor. Yang pertama kurang lebih 2 minggu lalu dan kini berusaha bagi menghadiri dawrah pula. Sebagai makluman, pemateri kali ini ialah al-Ustadz Abu Muhammad Idral Harits hafizhahullah, alumni Má'had Darul Hadits, Dammaj, Yaman yang diasuh oleh asy-Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wad'í rahimahullah. Beliau yakni ustadz kini bertugas sebagai salah seorang pengasuh di Yayasan Darus Salaf, Sukoharjo, Solo, Jawa Tengah serta menjadi salah seorang redaksi di majalah kesayangan kita, AsySyariah[1]. Turut menemani safar beliau ke mari ialah al-Ustadz Abu Útbah Ahmad Miqdad hafizhahullah. Seorang pengusaha Pustaka Ghuroba' dan juga mustarjim aktif di majmuáh Salafiyyin.

Adapun bahan kajian pada kali sungguh menarik sekali iaitu berkaitan tazkiyatun nufus[2]. Pembahasan tentang penyucian jiwa, pokok permasalah hati. Sesuai dengan tajuk kitabnya Atsar Al-Qur'an fi Ishlahul Qulub (Atsar Al-Qur'an dalam Memperbaiki Hati)[3] tulisan asy-Syaikh Sulaiman ar-Ruhayli hafizhahullah. Maasya-ALLAH, kepalang banyaknya bimbingan dalam Al-Qur'an dan dikuatkan pula dengan Hadits Rasulullah shallallahu álayhi wa sallam pada hal yang tersebut! Tak perlu untuk melencong kepada mainan kata-kata bombastik falsamfah perahan áqal mahupun lirik-lirik nasyid yang memabukkan.

Ringkasnya bertitik-tolak dawrah ini mengajak kita untuk bercermin diri. Untuk mewaspadai akan kegelinciran hati yang adakala tidak kita sedari berlalu bersama kealpaan hidup di dunia ini. Walhal tamtsilnya sebuah gunung yang besar ituoun terbentuk daripada kerikil-kerikil yang kecil. Demikian kealpaan yang berbuah kesalahan-kesalahan kecil yang sering diremehkan akhirnya digeluti sebagai suatu kebiasaan bahkan menjadi satu keperluan hidup. Maka perhatikan, bukankah riya' yang disebut sebagai syirik kecil itu lebih besar dari sekian banyak dosa-dosa maksiat? Dan bukankah kibr(sombong, menolak al-haq dan melecehkan manusia) waima sebesar zarah itu boleh mengakibatkan kita terhindar jauh dari jannah dan menggiring dekat kepada jahannam? Wal'íyadzubillah. Begitulah kecil-besarnya peranan hati kepada lisan dan perbuatan kita.

Jesteru itu, hati yang berbolak-balik ini kita pohon kepada ALLAH yang Maha Tinggi agar dikaruniakan kekokohannya[4] dalam mengharungi hidup sebagai Muslim yang ikhlas lagi jujur beragama. Aduhai, entah berapa banyak telah terpapar jelas bekas-bekas dosa di wajah kita pada hari ini? Hanya ALLAH yang Maha Tahu atas apa yang kita telah perbuat di saat keramaian dan sendirian. Sebagaimana nasihat salaf agar kita mencari di mana hati ini berada. Samada berlabuh dalam membaca Al-Qur'an, majlis dzikr(ílmu) dan khalwat(bersendirian dalam kethaátan). Atau-wal'íyadzubillah-jika tidak punya hati hendaknya kita bersegera memintanya kepada ALLAH. Sudah seharusnya hati ini tunduk mengingat ALLAH dan kepada al-Haq yang diturunkan. Dan tidak pula menjadi seperti orang-orang sebelum kita yang seiring masa berlalu hati mereka mulai keras membatu lalu menjadi fussaq. Wallahul mustaán.

Kurang lebih begitulah di antara isi dawrah yang sempat saya pelajari di tempoh yang agak singkat ini. Kemuncaknya pelajaran ini ialah, semakin tinggi(kemurnian) tauhid[5] kita semakin tercapailah akan ketenteraman hati. Hati yang meyaqini bahawa setiap ní'mat adalah pemberian daripada ALLAH bukan daripada itu dan ini(makhluq). Disertai kesedaran itu terbitlah dari lisan yang senantiasa memuji-NYA dan istimal(menggunakan ní'mat tadi di atas jalan kethaátan). Oleh itu, hati nan demikian indah gemilang rupanya hanya dapat diraih melalui ílmu yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu álayhi wa sallam. Bukan ílmu yang lahir dari silat bahasa, debat, sangka teka lewat mulut ke mulut yang beraroma asalkan kebaikan apa salahnya[6]. Atau bukan juga dari kacamata penganut Shufi[7] (tashawwuf) yang berpijak pada ílmu laduni, mimpi serta alamat-alamat melalui para jin[8].

Ada baiknya dipersilakan saja untuk muat-turun kitab[9] serta audio[10] rakamannya ya. 
Nas alullaha salamatan wal ááfiyah.



Ahad | 09 Rajab 1437H